Showing posts with label Info Semasa Mengandung. Show all posts
Showing posts with label Info Semasa Mengandung. Show all posts

Friday, August 21, 2009

IBU hamil berpuasa...

Sumber : mypermatahati.com


Mitos anak kelaparan dalam kandungan, terpaksa makan berganda wajar diketepikan.


BANYAK mitos yang didengari mengenai ibu hamil dan amalan berpuasa. Ramai percaya, ibu hamil perlu makan kerana takut anak dalam kandungan kelaparan terutama yang masih pada peringkat awal kehamilan. Malah, ibu hamil juga dikatakan perlu makan untuk dua orang (ibu dan anak dalam kandungan) menjadikan kuantiti pemakanan ditambah dua kali ganda. Justeru, puasa tidak digalakkan sama sekali.

Pakar Pemakanan Jabatan Pemakanan dan Dietetik Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Dr Fatimah Arshad, berkata meskipun anggapan berkenaan sudah sebati dengan masyarakat hari ini, kajian menunjukkan mitos berkenaan salah sama sekali.

“Tiada halangan yang menyekat ibu hamil untuk berpuasa. Tidak kira pada awal kandungan atau pada peringkat akhir kehamilan. Asalkan ibu berkenaan sihat tanpa penyakit kronik yang membahayakan kesihatan, mereka boleh berpuasa seperti orang lain. Dalam Islam dibolehkan mereka tidak berpuasa sekiranya memudaratkan kesihatan ibu atau anak,” katanya.

Puasa yang memudaratkan ibu hamil ialah apabila kandungan gula dalam darah menurun. Namun dalam kebanyakan kes penyakit kronik seperti diabetis, tekanan darah tinggi dan sebagainya, puasa adalah sebaik-baik langkah mengurangkan risiko yang dihadapi.
“Lazimnya, ibu yang sihat tanpa risiko boleh berpuasa. Bagaimanapun, amalan berpuasa sebenarnya adalah jalan terbaik untuk merancang diet terutama mereka yang menghidap penyakit seperti diabetis atau darah tinggi. Waktu makan lebih teratur dan tidak berselang seli dengan makanan yang tidak diperlukan. Misalnya waktu sahur sama dengan waktu sarapan dan makan malam, makan tengah hari adalah sama dengan waktu berbuka puasa dan moreh pula sama dengan snek.

“Jadi, aturan ini secara tidak langsung menyekat ibu hamil daripada makan berlebihan yang menyebabkan kandungan gula di dalam darah meningkat. Ini kerana ibu hamil mudah mengalami peningkatan gula dalam darah,” katanya.
Fatimah menasihatkan ibu hamil supaya bijak merancang pengambilan makanan dengan mengatur keperluan khasiat dan zat pemakanan. Perancangan itu menjamin ibu hamil memperoleh semua zat yang diperlukan janin dalam kuantiti diperlukan saja.

“Ibu hamil perlu memastikan berat mereka tidak bertambah secara berlebihan ketika hamil. Anggaran peningkatan hanya sekadar 1 kg setiap bulan iaitu jumlah maksimum sebanyak 9 kg saja. Pertambahan berat badan lebih daripada 10 kg hanya menyebabkan ibu berisiko
mengalami kandungan gula bertambah dan tekanan darah tinggi. Justeru, perancangan menu amat penting bagi memastikan ibu dan bayi terus sihat,” katanya.
Kalsium adalah zat paling penting untuk pembentukan tulang janin. Bagi mendapatkannya, ibu perlu minum dua gelas susu skim (tanpa lemak) setiap hari iaitu pada waktu sahur dan berbuka.
Jika ibu mengalami diabetis, amalkan minum susu dan buah-buahan berserat tinggi seperti betik, epal, tembikai atau oren. Jangan makan buah-buahan manis. Pemanis mulut seperti bubur kekacang dapat melawaskan penghadaman.
“Selepas terawih, minum minuman bersusu seperti susu bersama oat, emping jagung, kacang kuda atau tauhu sumbat. Elakkan makan nasi secara berlebihan iaitu tidak lebih 3/4 cawan kerana nasi mengandungi gula. Kalau boleh gunakan beras perang atau beras basmati.
“Memilih spageti lebih baik berbanding mi atau bihun biasa. Lauk seperti sup sayur satu mangkuk, lebihkan ikan atau ayam satu potong. Banyakkan minum air kosong berbanding air bergula,” katanya.
Ketika bersahur, ibu boleh mengambil sandwic tuna menggunakan roti berkalsium tinggi atau nasi yang dimakan bersama sayuran yang banyak. Bagi menambah darah, pastikan ibu makan hidangan mengandungi zat besi. Ia boleh diperoleh dengan memakan organ ayam atau lembu seperti hati sekali seminggu.
Memakan sayur hijau dapat membantu menyerap zat besi dengan lebih berkesan, manakala ayam dan daging juga boleh membina sel darah merah. “Bulan puasa menjadikan ibu lebih peka dengan pengambilan hidangan sihat mengandungi pelbagai nutrien yang mengikut semua keperluan
seperti terkandung dalam piramid pemakanan. Malah, menu terancang menjadikan bayi lebih sihat. Ibu hamil juga perlu bersenam walaupun pada bulan puasa. Ini boleh dilakukan dengan mengamalkan sembahyang terawih.
“Sebelah petang banyakkan berehat untuk menyimpan tenaga. Apa yang penting, waktu berbuka jangan makan berlebihan kerana ia menyebabkan tubuh cepat letih dan menjadikan kita mengantuk. Pengambilan makanan tambahan sebenarnya tidak menjamin khasiat diperlukan tubuh mampu diserap sepenuhnya oleh tubuh. Jika tidak boleh minum susu, gantikan dengan dadih yang kini boleh didapati dalam pelbagai perisa,” katanya.




Thursday, April 30, 2009

Tip Kurangkan Muntah..

“Morning sickness” atau muntah-muntah ialah masalah yang biasa berlaku dikalangan wanita hamil. Ia boleh berlaku bila bila masa. Kebanyakkan bermula seawal 6 minggu pertama dan berakhir pada lewat 16 minggu. Walaubagaimanpun, terdapat segelintir dari wanita yang hamil mengalami masalah ini sehingga ke peringkat akhir kandungan.
Punca yang tepat terhadap masalah ini belum diketahui secara jelas, tapi kemungkinan besar ia terjadi disebabkan oleh kehadiran hormon-hormon dirembeskan dalam kuantiti yang banyak diawal kehamilan.
Morning sickness bukan sahaja boleh menganggu kehidupan harian wanita yang mengandung, tetapi ia juga boleh memberikan bahaya kepada ibu dan anak yang didalam kandungan.
Morning sickness yang teruk boleh menyebabkan wanita kehilangan bendalir tubuh yang banyak, dan kehilangan zat galian akan memberikan kesan kepada bayi sekiranya ia berlaku dalam jangka masa yang lama . Bayi mungkin akan mengalami kekurangan berat badan, tidak membesar secara normal kerana kekurangan zat-zat penting yang diperlukan untuk tumbesaran bayi.
Jadi, sekiranya anda mengalami masalah muntah muntah secara berlebihan, anda harus berjumpa dengan doktor dengan segera.

Tip-tip Untuk Kurangkan Simptom
Kepada wanita yang mengalami muntah-muntah ringan dan sederhana anda boleh mencuba untuk amalkan tip-tip ini
  • Minum 10 gelas air sehari untuk mengantikan bendalir badan yang hilang dan juga mengelakkan sembelit
  • Jauhkan dari bau-bau yang tidak menyenangkan yang boleh menyebabkan anda muntah. Beritahu suami dan saudara dan rakan-rakan di tempat kerja tentang bau-bauan tersebut.
  • Hindarkan diri dari wangian
  • Sekiranya anda rasa loya, asam boleh mengurangkan rasa loya.
  • Legakan perut dengan memakan makanan berhalia. Hidu lemon lemon atau minum jusnya
  • Sekiranya masih mempunyai anak yang kecil, pastikan diaper anak dikendalikan oleh suami atau pembantu rumah.
  • Sekiranya memerlukan perjalanan jauh melalui udara, tundakan tarikhnya. Anda tentu tidak mahu merasa loya disebabkan oleh perjalanan yang bumpy atau bau dari makanan, ataupun dari wangi dari penumpang sebelah

Wednesday, April 29, 2009

Mengandung & Kencing Manis [Bhg 2]

Sambungan [Bhg 1]

Pemakanan
Pemakanan seimbang penting terutamanya untuk mereka yang menghidapi kencing manis. Tumbesaran janin bergantung pada pemakanan puan. Perlu ditegaskan pemakanan yang diambil perlu diimbangkan supaya paras gula tidak naik melebihi normal.
Pemakanan puan bergantung kepada berapa berat badan, umur dan juga tahap kecergasan harian puan. Peringkat umur kandungan juga memainkan peranan dalam pemakanan puan.
Perawatan
Semasa mengandung, sekiranya puan memerlukan perawatan untuk kencing manis, ubat suntikan insulin diberikan.
Sebelum insulin diberikan, puan mungkin dimasukkan ke wad untuk menentukan dos optimum, mengenalpasti apa yang mungkin puan rasai sekiranya paras gula jatuh terlalu rendah, serta diajar cara-cara menyuntik dan juga mengendalikan alat-alat suntikan.
Ubat-ubat untuk dimakan mungkin diberikan sekiranya puan memang pesakit kencing manis sebelum mengandung lagi.
Senaman itu penting untuk mereka yang berpenyakit kencing manis. Walaupun puan mengandung, puan boleh juga bersenam, contohnya seperti berjalan-jalan dan senaman ringan lain.
Penjagaan kandungan
Semasa trimester pertama, ujian darah khas seperti darah hemoglobin berglikosi boleh dijalankan, di mana ujian ini meramalkan sama ada kecacatan janin merupakan satu kemungkinan. Puan juga mungkin dinasihatkan supaya menjalani pemeriksaan ultrasound pada minggu ke-18 hingga ke-20 kandungan untuk mengenalpasti sebarang kecacatan pada janin.
Pemeriksaan antenatal lain seperti yang dijalani ibu-ibu yang mengandung biasa turut dilakukan. Temujanji puan mungkin lebih kerap sedikit kerana doktor perlu memastikan pengawalan gula darah, dos insulin dan juga komplikasi lain dikenal pasti.
Lazimnya di hospital-hospital besar seperti hospital Universiti Sains Malaysia, puan akan dirawat dan hadir ke klinik gabungan khas yang terdiri daripada pakar perubatan dalaman dan pakar obstetrik. Puan juga mungkin dirujuk kepada pakar pemakanan serta jururawat mahir yang mempunyai pengkhususan dalam penjagaan ibu mengandung yang menghidapi kencing manis.
Kelahiran
Jangan runsing, sekiranya pengawalan gula darah puan stabil, saiz bayi biasanya tidak besar dan dalam kebanyakan kes, kelahiran berjalan secara normal.
Semasa proses kelahiran, pengawasan gula darah dan juga paras elektrolit lain diawasi dengan teliti. Sekiranya terdapat komplikasi ataupun keadaan tidak terkawal, berkemungkinan kelahiran bayi puan akan dirancangkan lebih awal dari tempoh masanya.
Penjagaan selepas mengandung
Kebanyakan bayi tidak mengalami komplikasi tetapi doktor akan memasukkan bayi ke wad rawatan khas untuk mengenal pasti sebarang komplikasi yang mungkin berlaku seperti:
- Paras gula darah yang rendah
- Paras kalsium dan magnesium yang rendah
- Peningkatan bilangan sel-sel darah merah
- Jaundis neonatal iaitu kulit bayi menjadi kuning
- Masalah dengan pernafasan
Kebanyakan masalah ini tidak berlaku sekiranya kencing manis semasa mengandung puan terkawal. Tidak ada halangan juga untuk puan meneruskan penyusuan badan untuk bayi.
Puan boleh mengamalkan mana-mana kaedah kontraseptif yang ada. Sekiranya puan mengandung dalam tempoh dekat, puan mungkin mengalami kembali diabetes gestasi.
Pengawalan paras glukos
Sejurus selepas bersalin, puan tentu merasakan keletihan yang amat sangat. Pada masa tersebut sekiranya puan belum makan atau minum apa-apa, regim insulin boleh diteruskan. Insulin diberhentikan sebaik sahaja puan mengambil makanan atau meminum minuman bertenaga. Pengawasan gula masih ditumpukan, dan sekiranya paras gula puan masih tinggi, ubat anti kencing manis akan dipreskripsikan. Sekiranya paras gula darah puan kembali normal, puan perlu ingat yang puan adalah lebih berisiko untuk mendapat kencing manis di kemudian hari. Jadi selalulah berjumpa dengan doktor.
Pengawasan berat badan
Tidak digalakkan puan menurunkan berat badan atau berdiet terlampau semasa tempoh mengandung. Selepas bersalin, puan bolehlah meneruskan agenda menurunkan berat badan dengan bersenam serta cara pemakanan yang betul. Perlu diingat yang puan juga akan memerlukan tenaga yang lebih untuk menjaga bayi kesayangan yang baru sahaja lahir ke dunia.


Mengandung & Kencing Manis [Bhg 1]


ARKIB : 09/11/2008
Sumber : Utusan Malaysia Online


KENCING manis atau diabetes merupakan satu keadaan di mana paras gula (glukosa) di dalam darah badan melebihi paras normal.
Walaupun glukosa merupakan satu punca tenaga tetapi seandainya berlebihan akan menyebabkan permasalahan kesihatan, terutamanya semasa mengandung. Kencing manis semasa mengandung dipanggil diabetes gestasi.
Punca
Kencing manis berlaku apabila pengendalian badan terhadap insulin tidak teratur, sama ada dari segi pembuatan maupun penggunaannya. Insulin merupakan hormon yang menukar glukosa di dalam badan ke bentuk tenaga. Apabila pembuatannya ataupun pengunaannya tidak betul, paras gula darah akan meningkat dan ini dipanggil hiperglisemia.
Semasa mengandung, hormon yang dikeluarkan oleh uri (plasenta) mengganggu keberkesanan insulin, hasilnya, hiperglisemia mungkin berlaku. Puan boleh mendapat diabetes gestasi walaupun tidak ada risiko yang dikenal pasti. Lazimnya kencing manis yang berlaku semasa mengandung hilang selepas kelahiran. Namun demikian, risiko untuk mendapat kencing manis pada masa hadapan adalah tinggi.
Sekiranya puan pernah mendapat rawatan kencing manis semasa mengandung, maklumkan kepada doktor atau jururawat yang ditemui. Harus diingat bahawa risiko kencing manis meningkat dengan peningkatan umur semasa mengandung
Masalah kencing manis semasa mengandung
Risiko kesihatan akan meningkat dengan peningkatan paras gula darah. Setengah daripada komplikasi ini meningkatkan risiko untuk kelahiran secara pembedahan. Inilah sebabnya mengapa paras gula darah perlu dikawal.
Permasalahan yang mungkin puan hadapi sekiranya puan berisiko untuk penyakit kencing manis semasa mengandung:
- Janin menjadi besar dikenali sebagai makrosomia. Ini disebabkan oleh gula berlebihan memasuki janin dan mengarahkan tumbesaran pesat, akibatnya janin menjadi besar dan mungkin sukar untuk dilahirkan secara normal, kejadian kelahiran tersekat terutamanya pada bahagian bahu meningkat.
- Kejadian darah tinggi dan kehadiran protein di dalam air kencing meningkat, ini dipanggil pre-eklampsia. Jika dibiarkan, boleh menyebabkan sawan, kegagalan hati dan juga buah pinggang. Puan mungkin terpaksa melahirkan anak sebelum masanya untuk mengelakkan komplikasi dan musibah yang melanda sistem dalaman organ. Kematian juga boleh berlaku pada janin.
- Meningkatnya cecair likuor di kantung di mana janin berada. Ini menyebabkan saiz kandungan melebihi saiz sebenar mengikut kiraan, menyebabkan ketidakselesaan seperti kesukaran bernafas. Kelahiran mungkin berlaku sebelum sampainya penggal kematangan iaitu sebelum 38 minggu.
- Jangkitan sistem pundi kencing. Sekiranya tidak dirawat, jangkitan di pundi kencing akan merebak ke buah pinggang.
- Sindrom kesukaran pernafasan mungkin berlaku pada bayi. Risiko ini meningkat untuk ibu-ibu yang mempunyai kencing manis semasa mengandung, lebih-lebih lagi apabila kelahiran awal sebelum tempoh terpaksa dilakukan.
- Kematian bayi di dalam kandungan, mungkin berlaku sekiranya kencing manis gagal dikawal. Ini termasuklah keguguran.
Pengawalan kencing manis
Apabila puan menghadirkan diri kali pertama ke klinik perbidanan untuk membuat kad lawatan antenatal, puan akan diselidiki akan faktor-faktor risiko, sejarah perubatan serta sejarah perbidanan lampau.
Sejarah kesihatan sekarang seperti berat badan yang melebihi nisbah berat-tinggi yang disyorkan, umur puan, kandungan yang disyaki secara relatifnya besar, berat janin, kehadiran lebih daripada satu janin serta kandungan air likuor yang terlampau (mengikut umur kandungan). Pemeriksaan air kencing yang menunjukkan kehadiran gula di dalamnya bukanlah kaedah pengawasan pengawalan yang diamalkan di hospital.
Puan akan diuji untuk paras glukosa darah, paling mudah diambil dari jari dan hanya memerlukan setitik darah.
Puan juga akan ditanya bila kali terakhir ujian glukosa darah diambil, di samping masa puan makan dan minum. Sekiranya terbukti paras gula darah kapilari puan melebihi normal, puan akan dinasihatkan supaya menjalani ujian selanjutnya.
Sekiranya puan sudah pun mengalami kencing manis sebelum mengandung, puan dinasihatkan supaya menghadiri klinik kencing manis supaya pengawalan paras gula darah yang ketat dapat dimanfaatkan. Ini kerana paras gula yang tidak teratur dan tinggi dapat mencacatkan pertumbuhan serta tumbesaran janin, terutamanya yang berumur kurang dari 12 minggu. Semasa mengandung, pengawalan paras gula darah dilakukan dengan penggunaan insulin. Pil-pil tidak digunakan.

Tips Selera Hamil....


Sumber : Maaf. Tak ingat Save as dari majalah/web mana...

Tuesday, April 28, 2009

Tanda-tanda Kehamilan...

Bila berlaku kehamilan, sistem badan wanita akan mula menghasilkan hormon untuk membantu perkembangan bayi. Oleh kerana badan ibu belum sesuai dengan keadaan ini, maka ia akan mula bereaksi secara ganjil antaranya;

1) Tidak lagi datang haid. Jika datang haid, tarikhnya teranjak ke hadapan dan darahnya hanya sedikit.

2) Membuang air kecil dengan kerap.

3) Badan cepat menjadi letih.

4) Pening kepala dan muntah-muntah.

5) Buah dada terasa sakit dan tegang.

6) Puting menjadi lebih gelap daripada biasa.

7) Sakit belakang.

8) Sakit kepala.

9) Selera makan bertambah.

10) Teringin makan sesuatu makanan seperti mangga, asam, atau benda-benda manis.

11) Sakit perut, terasa kembung.

12) Perubahan mood. Mudah marah.

13) Perubahan bentuk badan.

Sumber : Aishah Blog