ARKIB : 09/11/2008
Sumber : Utusan Malaysia Online
KENCING manis atau diabetes merupakan satu keadaan di mana paras gula (glukosa) di dalam darah badan melebihi paras normal.
Walaupun glukosa merupakan satu punca tenaga tetapi seandainya berlebihan akan menyebabkan permasalahan kesihatan, terutamanya semasa mengandung. Kencing manis semasa mengandung dipanggil diabetes gestasi.
Punca
Kencing manis berlaku apabila pengendalian badan terhadap insulin tidak teratur, sama ada dari segi pembuatan maupun penggunaannya. Insulin merupakan hormon yang menukar glukosa di dalam badan ke bentuk tenaga. Apabila pembuatannya ataupun pengunaannya tidak betul, paras gula darah akan meningkat dan ini dipanggil hiperglisemia.
Semasa mengandung, hormon yang dikeluarkan oleh uri (plasenta) mengganggu keberkesanan insulin, hasilnya, hiperglisemia mungkin berlaku. Puan boleh mendapat diabetes gestasi walaupun tidak ada risiko yang dikenal pasti. Lazimnya kencing manis yang berlaku semasa mengandung hilang selepas kelahiran. Namun demikian, risiko untuk mendapat kencing manis pada masa hadapan adalah tinggi.
Sekiranya puan pernah mendapat rawatan kencing manis semasa mengandung, maklumkan kepada doktor atau jururawat yang ditemui. Harus diingat bahawa risiko kencing manis meningkat dengan peningkatan umur semasa mengandung
Masalah kencing manis semasa mengandung
Risiko kesihatan akan meningkat dengan peningkatan paras gula darah. Setengah daripada komplikasi ini meningkatkan risiko untuk kelahiran secara pembedahan. Inilah sebabnya mengapa paras gula darah perlu dikawal.
Permasalahan yang mungkin puan hadapi sekiranya puan berisiko untuk penyakit kencing manis semasa mengandung:
- Janin menjadi besar dikenali sebagai makrosomia. Ini disebabkan oleh gula berlebihan memasuki janin dan mengarahkan tumbesaran pesat, akibatnya janin menjadi besar dan mungkin sukar untuk dilahirkan secara normal, kejadian kelahiran tersekat terutamanya pada bahagian bahu meningkat.
- Kejadian darah tinggi dan kehadiran protein di dalam air kencing meningkat, ini dipanggil pre-eklampsia. Jika dibiarkan, boleh menyebabkan sawan, kegagalan hati dan juga buah pinggang. Puan mungkin terpaksa melahirkan anak sebelum masanya untuk mengelakkan komplikasi dan musibah yang melanda sistem dalaman organ. Kematian juga boleh berlaku pada janin.
- Meningkatnya cecair likuor di kantung di mana janin berada. Ini menyebabkan saiz kandungan melebihi saiz sebenar mengikut kiraan, menyebabkan ketidakselesaan seperti kesukaran bernafas. Kelahiran mungkin berlaku sebelum sampainya penggal kematangan iaitu sebelum 38 minggu.
- Jangkitan sistem pundi kencing. Sekiranya tidak dirawat, jangkitan di pundi kencing akan merebak ke buah pinggang.
- Sindrom kesukaran pernafasan mungkin berlaku pada bayi. Risiko ini meningkat untuk ibu-ibu yang mempunyai kencing manis semasa mengandung, lebih-lebih lagi apabila kelahiran awal sebelum tempoh terpaksa dilakukan.
- Kematian bayi di dalam kandungan, mungkin berlaku sekiranya kencing manis gagal dikawal. Ini termasuklah keguguran.
Pengawalan kencing manis
Apabila puan menghadirkan diri kali pertama ke klinik perbidanan untuk membuat kad lawatan antenatal, puan akan diselidiki akan faktor-faktor risiko, sejarah perubatan serta sejarah perbidanan lampau.
Sejarah kesihatan sekarang seperti berat badan yang melebihi nisbah berat-tinggi yang disyorkan, umur puan, kandungan yang disyaki secara relatifnya besar, berat janin, kehadiran lebih daripada satu janin serta kandungan air likuor yang terlampau (mengikut umur kandungan). Pemeriksaan air kencing yang menunjukkan kehadiran gula di dalamnya bukanlah kaedah pengawasan pengawalan yang diamalkan di hospital.
Puan akan diuji untuk paras glukosa darah, paling mudah diambil dari jari dan hanya memerlukan setitik darah.
Puan juga akan ditanya bila kali terakhir ujian glukosa darah diambil, di samping masa puan makan dan minum. Sekiranya terbukti paras gula darah kapilari puan melebihi normal, puan akan dinasihatkan supaya menjalani ujian selanjutnya.
Sekiranya puan sudah pun mengalami kencing manis sebelum mengandung, puan dinasihatkan supaya menghadiri klinik kencing manis supaya pengawalan paras gula darah yang ketat dapat dimanfaatkan. Ini kerana paras gula yang tidak teratur dan tinggi dapat mencacatkan pertumbuhan serta tumbesaran janin, terutamanya yang berumur kurang dari 12 minggu. Semasa mengandung, pengawalan paras gula darah dilakukan dengan penggunaan insulin. Pil-pil tidak digunakan.
lagi info tentang kencing manis kat sini - Kencing Manis Punca Sakit Jantung, Darah Tinggi, Buah Pinggang Rosak dan Komplikasi dan Simptom Diabetes
ReplyDeletearmouris:TQ :)
ReplyDelete