Pemakanan
Pemakanan seimbang penting terutamanya untuk mereka yang menghidapi kencing manis. Tumbesaran janin bergantung pada pemakanan puan. Perlu ditegaskan pemakanan yang diambil perlu diimbangkan supaya paras gula tidak naik melebihi normal.
Pemakanan puan bergantung kepada berapa berat badan, umur dan juga tahap kecergasan harian puan. Peringkat umur kandungan juga memainkan peranan dalam pemakanan puan.
Perawatan
Semasa mengandung, sekiranya puan memerlukan perawatan untuk kencing manis, ubat suntikan insulin diberikan.
Sebelum insulin diberikan, puan mungkin dimasukkan ke wad untuk menentukan dos optimum, mengenalpasti apa yang mungkin puan rasai sekiranya paras gula jatuh terlalu rendah, serta diajar cara-cara menyuntik dan juga mengendalikan alat-alat suntikan.
Ubat-ubat untuk dimakan mungkin diberikan sekiranya puan memang pesakit kencing manis sebelum mengandung lagi.
Senaman itu penting untuk mereka yang berpenyakit kencing manis. Walaupun puan mengandung, puan boleh juga bersenam, contohnya seperti berjalan-jalan dan senaman ringan lain.
Penjagaan kandungan
Semasa trimester pertama, ujian darah khas seperti darah hemoglobin berglikosi boleh dijalankan, di mana ujian ini meramalkan sama ada kecacatan janin merupakan satu kemungkinan. Puan juga mungkin dinasihatkan supaya menjalani pemeriksaan ultrasound pada minggu ke-18 hingga ke-20 kandungan untuk mengenalpasti sebarang kecacatan pada janin.
Pemeriksaan antenatal lain seperti yang dijalani ibu-ibu yang mengandung biasa turut dilakukan. Temujanji puan mungkin lebih kerap sedikit kerana doktor perlu memastikan pengawalan gula darah, dos insulin dan juga komplikasi lain dikenal pasti.
Lazimnya di hospital-hospital besar seperti hospital Universiti Sains Malaysia, puan akan dirawat dan hadir ke klinik gabungan khas yang terdiri daripada pakar perubatan dalaman dan pakar obstetrik. Puan juga mungkin dirujuk kepada pakar pemakanan serta jururawat mahir yang mempunyai pengkhususan dalam penjagaan ibu mengandung yang menghidapi kencing manis.
Kelahiran
Jangan runsing, sekiranya pengawalan gula darah puan stabil, saiz bayi biasanya tidak besar dan dalam kebanyakan kes, kelahiran berjalan secara normal.
Semasa proses kelahiran, pengawasan gula darah dan juga paras elektrolit lain diawasi dengan teliti. Sekiranya terdapat komplikasi ataupun keadaan tidak terkawal, berkemungkinan kelahiran bayi puan akan dirancangkan lebih awal dari tempoh masanya.
Penjagaan selepas mengandung
Kebanyakan bayi tidak mengalami komplikasi tetapi doktor akan memasukkan bayi ke wad rawatan khas untuk mengenal pasti sebarang komplikasi yang mungkin berlaku seperti:
- Paras gula darah yang rendah
- Paras kalsium dan magnesium yang rendah
- Peningkatan bilangan sel-sel darah merah
- Jaundis neonatal iaitu kulit bayi menjadi kuning
- Masalah dengan pernafasan
- Paras kalsium dan magnesium yang rendah
- Peningkatan bilangan sel-sel darah merah
- Jaundis neonatal iaitu kulit bayi menjadi kuning
- Masalah dengan pernafasan
Kebanyakan masalah ini tidak berlaku sekiranya kencing manis semasa mengandung puan terkawal. Tidak ada halangan juga untuk puan meneruskan penyusuan badan untuk bayi.
Puan boleh mengamalkan mana-mana kaedah kontraseptif yang ada. Sekiranya puan mengandung dalam tempoh dekat, puan mungkin mengalami kembali diabetes gestasi.
Pengawalan paras glukos
Sejurus selepas bersalin, puan tentu merasakan keletihan yang amat sangat. Pada masa tersebut sekiranya puan belum makan atau minum apa-apa, regim insulin boleh diteruskan. Insulin diberhentikan sebaik sahaja puan mengambil makanan atau meminum minuman bertenaga. Pengawasan gula masih ditumpukan, dan sekiranya paras gula puan masih tinggi, ubat anti kencing manis akan dipreskripsikan. Sekiranya paras gula darah puan kembali normal, puan perlu ingat yang puan adalah lebih berisiko untuk mendapat kencing manis di kemudian hari. Jadi selalulah berjumpa dengan doktor.
Pengawasan berat badan
Tidak digalakkan puan menurunkan berat badan atau berdiet terlampau semasa tempoh mengandung. Selepas bersalin, puan bolehlah meneruskan agenda menurunkan berat badan dengan bersenam serta cara pemakanan yang betul. Perlu diingat yang puan juga akan memerlukan tenaga yang lebih untuk menjaga bayi kesayangan yang baru sahaja lahir ke dunia.
No comments:
Post a Comment