Friday, August 21, 2009

IBU hamil berpuasa...

Sumber : mypermatahati.com


Mitos anak kelaparan dalam kandungan, terpaksa makan berganda wajar diketepikan.


BANYAK mitos yang didengari mengenai ibu hamil dan amalan berpuasa. Ramai percaya, ibu hamil perlu makan kerana takut anak dalam kandungan kelaparan terutama yang masih pada peringkat awal kehamilan. Malah, ibu hamil juga dikatakan perlu makan untuk dua orang (ibu dan anak dalam kandungan) menjadikan kuantiti pemakanan ditambah dua kali ganda. Justeru, puasa tidak digalakkan sama sekali.

Pakar Pemakanan Jabatan Pemakanan dan Dietetik Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Dr Fatimah Arshad, berkata meskipun anggapan berkenaan sudah sebati dengan masyarakat hari ini, kajian menunjukkan mitos berkenaan salah sama sekali.

“Tiada halangan yang menyekat ibu hamil untuk berpuasa. Tidak kira pada awal kandungan atau pada peringkat akhir kehamilan. Asalkan ibu berkenaan sihat tanpa penyakit kronik yang membahayakan kesihatan, mereka boleh berpuasa seperti orang lain. Dalam Islam dibolehkan mereka tidak berpuasa sekiranya memudaratkan kesihatan ibu atau anak,” katanya.

Puasa yang memudaratkan ibu hamil ialah apabila kandungan gula dalam darah menurun. Namun dalam kebanyakan kes penyakit kronik seperti diabetis, tekanan darah tinggi dan sebagainya, puasa adalah sebaik-baik langkah mengurangkan risiko yang dihadapi.
“Lazimnya, ibu yang sihat tanpa risiko boleh berpuasa. Bagaimanapun, amalan berpuasa sebenarnya adalah jalan terbaik untuk merancang diet terutama mereka yang menghidap penyakit seperti diabetis atau darah tinggi. Waktu makan lebih teratur dan tidak berselang seli dengan makanan yang tidak diperlukan. Misalnya waktu sahur sama dengan waktu sarapan dan makan malam, makan tengah hari adalah sama dengan waktu berbuka puasa dan moreh pula sama dengan snek.

“Jadi, aturan ini secara tidak langsung menyekat ibu hamil daripada makan berlebihan yang menyebabkan kandungan gula di dalam darah meningkat. Ini kerana ibu hamil mudah mengalami peningkatan gula dalam darah,” katanya.
Fatimah menasihatkan ibu hamil supaya bijak merancang pengambilan makanan dengan mengatur keperluan khasiat dan zat pemakanan. Perancangan itu menjamin ibu hamil memperoleh semua zat yang diperlukan janin dalam kuantiti diperlukan saja.

“Ibu hamil perlu memastikan berat mereka tidak bertambah secara berlebihan ketika hamil. Anggaran peningkatan hanya sekadar 1 kg setiap bulan iaitu jumlah maksimum sebanyak 9 kg saja. Pertambahan berat badan lebih daripada 10 kg hanya menyebabkan ibu berisiko
mengalami kandungan gula bertambah dan tekanan darah tinggi. Justeru, perancangan menu amat penting bagi memastikan ibu dan bayi terus sihat,” katanya.
Kalsium adalah zat paling penting untuk pembentukan tulang janin. Bagi mendapatkannya, ibu perlu minum dua gelas susu skim (tanpa lemak) setiap hari iaitu pada waktu sahur dan berbuka.
Jika ibu mengalami diabetis, amalkan minum susu dan buah-buahan berserat tinggi seperti betik, epal, tembikai atau oren. Jangan makan buah-buahan manis. Pemanis mulut seperti bubur kekacang dapat melawaskan penghadaman.
“Selepas terawih, minum minuman bersusu seperti susu bersama oat, emping jagung, kacang kuda atau tauhu sumbat. Elakkan makan nasi secara berlebihan iaitu tidak lebih 3/4 cawan kerana nasi mengandungi gula. Kalau boleh gunakan beras perang atau beras basmati.
“Memilih spageti lebih baik berbanding mi atau bihun biasa. Lauk seperti sup sayur satu mangkuk, lebihkan ikan atau ayam satu potong. Banyakkan minum air kosong berbanding air bergula,” katanya.
Ketika bersahur, ibu boleh mengambil sandwic tuna menggunakan roti berkalsium tinggi atau nasi yang dimakan bersama sayuran yang banyak. Bagi menambah darah, pastikan ibu makan hidangan mengandungi zat besi. Ia boleh diperoleh dengan memakan organ ayam atau lembu seperti hati sekali seminggu.
Memakan sayur hijau dapat membantu menyerap zat besi dengan lebih berkesan, manakala ayam dan daging juga boleh membina sel darah merah. “Bulan puasa menjadikan ibu lebih peka dengan pengambilan hidangan sihat mengandungi pelbagai nutrien yang mengikut semua keperluan
seperti terkandung dalam piramid pemakanan. Malah, menu terancang menjadikan bayi lebih sihat. Ibu hamil juga perlu bersenam walaupun pada bulan puasa. Ini boleh dilakukan dengan mengamalkan sembahyang terawih.
“Sebelah petang banyakkan berehat untuk menyimpan tenaga. Apa yang penting, waktu berbuka jangan makan berlebihan kerana ia menyebabkan tubuh cepat letih dan menjadikan kita mengantuk. Pengambilan makanan tambahan sebenarnya tidak menjamin khasiat diperlukan tubuh mampu diserap sepenuhnya oleh tubuh. Jika tidak boleh minum susu, gantikan dengan dadih yang kini boleh didapati dalam pelbagai perisa,” katanya.




No comments:

Post a Comment